
Oleh: Mohd Norisan Bin Tahir
Opini Publik, Kataandoolo.com – Selama ini kita mengenali Seberang Takir sebagai sebuah perkampungan nelayan Melayu Terengganu Tradisional. Namun, tahukah anda bahawa di sebalik nama-nama penempatan di kawasan ini seperti Kampung Telaga Daing dan Teluk Ketapang, tersimpan sejarah penghijrahan dan kepahlawanan maritime suku kaum Bugis yang sangat mendalam.
Jika diselidiki salasilah lama, kawasan pesisir Kuala Nerus ini sebenarnya merupakan antara lubuk persinggahan utama pahlawan dan pedagang laut Bugis dari Sulawesi dan Kepulauan Riau suatu ketika dahulu.
Pernahkah anda tertanya-tanya dari mana datangnya nama Kampung Telaga Daing di Seberang Takir? Istilah ‘Daing’ (atau Daeng) sebenarnya merupakan gelaran bangsawan dan kehormat bagi suku kaum Bugis. kawasan ini mula dibuka apabila sekumpulan pelaut Bugis mendarat di pesisir Seberang Takir untuk menambah bekalan air bersih sebelum meneruskan pelayaran jauh berdagang ke Kemboja.
Mereka telah menggali sebuah perigi tawar di situ, yang akhirnya dinamakan sebagai ‘Telaga Daing’ sempena nama ketua atau pahlawan Bugis yang memimpin ekspedisi tersebut.
Hubungan ini menjadi lebih unik apabila kita melihat Kampung Teluk Ketapang yang terletak bersebelahan dengan Seberang Takir. Selain namanya yang diinspirasikan daripada perkampungan nelayan Bugis di Riau, nama ‘Teluk Ketapang’ ini sendiri memegang nilai sentimental yang sangat besar dalam sejarah Bugis global. Di lokasi bernama Teluk Ketapang (Melaka), salah seorang pahlawan Bugis terbesar iaitu Raja Haji Fisabilillah telah gugur syahid menentang Belanda pada tahun 1784. Memori kepahlawanan inilah yang dibawa bersama oleh diaspora Bugis apabila mereka membuka penempatan baharu di pesisir Terengganu.
Gabungan kepakaran kelautan suku Bugis dan budaya tempatan inilah yang akhirnya berasimilasi, membentuk identiti perkampungan nelayan moden serta seni pembuatan bot yang gah di Seberang Takir hari ini.


Tidak ada komentar